Wednesday, December 17, 2008

Kategori Penguatkuasaan Sistem Islam (1)

Kategori Penguatkuasaan Sistem Islam ialah Kategori Arahan. Kategori Arahan inilah yang dikenali sebagai jenis-jenis HUKUM atau Hukum-Hukum Islam. Dalam bahasa Arab disebut secara plural: (الأحكام).

Arahan terdiri dari tiga kategori pokok:

1. Arahan supaya melakukan sesuatu;
2. Arahan supaya tidak melakukan sesuatu; dan
3. Arahan supaya membuat pilihan sama ada melakukan atau tidak melakukan sesuatu.

Secara perinciannya, tiga kategori pokok tersebut menjadi lima kategori sebagai berikut:

1. Arahan supaya melakukan sesuatu dalam bentuk KEMESTIAN;
2. Arahan supaya melakukan sesuatu dalam bentuk GALAKAN;
3. Arahan supaya tidak melakukan sesuatu dalam bentuk KEMESITIAN;
4. Arahan supaya tidak melakukan sesuatu dalam bentuk GALAKAN; dan
5. Arahan supaya memilih sama ada melakukan atau tidak melakukan sesuatu.

Kategori 1 dan 2 disebut oleh kebanyakan sebagai SURUHAN. Kategori ke 3 dan ke 4 dikatakan juga sebagai LARANGAN. Ketegori ke 5 dimaksudkan sebagai KEHARUSAN (Harus dalam bahasa Malaysia).

Begitulah sistem Islam dari aspek teknikal penguatkuasaan. Justeru, untuk memudahkan kefahaman orang ramai disebutkan sebagai:

Hukum-hukum Islam ada lima perkara:

1. Hukum Wajib (Suruhan dalam bentuk MESTI);
2. Hukum Sunat (Suruhan dalam bentuk GALAKAN);
3. Hukum Haram (Larangan yang MESTI dipatuhi);
4. Hukum Makruh (Larangan yang SEPATUTNYA dipatuhi); dan
5. Hukum Harus (Buat atau tak buat, tidak berdosa).

Kita selalu bercakap mengenai Hukum Islam adalah dalam bentuk pendekatan untuk orang ramai. Tetapi, para profesyional pengajian Islam, mereka bercakap dalam bahasa lain yang amat sukar difahami oleh orang ramai. Justeru, masyarakat memerlukan para profesyional tersebut untuk ketentuan sesuatu.

Monday, December 15, 2008

Penguatkuasaan Sistem Islam

Penguatkuasaan sistem Islam, pada dasarnya, dilakukan sendiri oleh setiap muslim dan oleh sesiapa sahaja yang menerima nilai-nilai murni.

Bagi golongan muslim, penguatkuasaan sendiri boleh dilaksanakan kerana meraka tahu bahawa ada Penguasa Tertinggi yang sentiasa mengawasi, iaitu Allah subhanahu wa ta'ala. Dan bagi golongan lain yang normal, mereka menyedari bahawa pengamalan nilai-nilai murni dalam kehidupan adalah sesuatu yang sehat dan dituntut oleh pegangan hidup mereka.

Selain dari itu, pihak berkuasa juga hendaklah memperkemas penguatkuasaan tersebut dengan pelbagai pendekatan yang menepati atau tidak bertentangan dengan pakej Amar Ma'ruf dan Nahi Munkar (الأمر بالمعروف والنهى عن المنكر): Mengarah untuk kebaikan dan mencegah keburukan.

Thursday, December 11, 2008

Sumber Sistem Islam (2)

Pendekatan terkini di kalangan sarjana Muslim, sumber-sumber sistem Islam terdiri dari:

1. Kitabullah. Maksudnya: Ayat-ayat al-Qur^an;
2. Sunnah Rasulullah. Maksudnya: Perkataan, perbuatan dan sikap atau reaksi rasulullah s.a.w.; dan
3. Ijtihad Ulama^. Maksudnya: Kajian, selidikan dan prosesan yang berdasarkan ayat-ayat al-Qur^an dan/atau as-Sunnah, sama ada dari aspek bertepatan ataupun tidak bertentangan dengannya.

Ijtihad (إجتهاد) tersebut menggunakan pelbagai metode, termasuk qiyas. Jika ijtihad dilakukan oleh ramai dan keputusannya (masa kini disebut sebagai finding/s) adalah sama, maka itulah dikatakan sebagai ijmak (إجماع) ulama^. Jika keputusannya majoriti, maka dikatakan jumhur (جمهور) ulama^. Manakala keputusan yang minoriti dikatakan dhaif (ضعيف). Perbezaan antara mereka disebut sebagai khilaf (خلاف).

Justeru, pendekatan terkini mengenai sumber-sumber sistem Islam ialah:

1. Kitabullah;
2. Sunnah rasulullah; dan
3. Ijtihad ulama^.

Adapun perkara-perkara lain seperti qiyas (قياس), 'urf (عرف), 'adat (عادة) dan istihsan (إستحسان) adalah metode yang terkandung dalam ijtihad. Semua itu bukanlah sumber.

Wednesday, December 10, 2008

Sumber Sistem Islam (1)

Adapun sumber Islam yang disebutkan oleh Muhammad, rasulullah s.a.w., ialah:

1. Kitabullah. Maksudnya: Ayat-ayat al-Qur^an; dan
2. Sunnah Rasulullah. Maksudnya: Perkataan, perbuatan dan sikap atau reaksi rasulullah s.a.w.

Bagi sesetengah golongan yang bermazhab, seperti golongan muslim di Malaysia, ada sumber ke:

3. Ijma' Ulama^: Keputusan sebulat suara para ulama^; dan
4. Qiyas: Perbandingan kes terbaru dengan kes terdahulu.

Malah, bagi sesetengah golongan lain ada beberapa sumber sampingan, seperti:

5. 'Adat dan 'Urf; dan
.. beberapa kaedah lain.

Monday, December 8, 2008

Pelaksanaan Sistem Hidup Islam

Dari aspek pelaksanaan, sistem hidup Islam terdiri dari kategori-kategori berikut:

1. Pelaksanaan Individu. Maksudnya, pelaksanaan oleh dan untuk peribadi sendiri. Contoh: Solat dan puasa.

2. Pelaksanaan Jama'ah. Maksudnya, perlukan individu atau beberapa individu lain ketika melaksanakannya. Contoh: Berkahwin dan berniaga.

3. Pelaksanaan Bernegara. Maksudnya, pelaksanaan oleh negara atau bagi pihak negara. Contoh: Hukuman jenayah mencuri dan merompak.

Wassalam.

Saturday, December 6, 2008

Sesuatu Yang Islamik

Sesuatu yang Islamik ialah yang merujuk kepada sumber-sumber Islam iaitu al-Qur^an dan as-Sunnah. Justeru, maksud sesuatu yang Islamik itu ialah:

1. Bertepatan dengan ajaran al-Qur^an dan/atau as-Sunnuah.
2. Tidak bertentangan dengan ajaran al-Qur^an dan/atau as-Sunnah.

Contoh:

1. Berkahwin = Bertepatan dengan sumber.
2. Berkereta = Tidak bertentangan dengan sumber.

Thursday, December 4, 2008

Syari'at Islam

Sistem hidup yang menyeluruh lagi sempurna yang ditentukan oleh Allah ialah Islam. Disebutkan juga sebagai Syari'at Islam dan Syari'at Allah. Malah, boleh juga disebut sebagai Syari'at sahaja.

Syari'at secara perinciannya amat menyeluruh ke dalam apa jua bidang. Sama ada yang sedang dilalui oleh manusia mahupun yang belum diterokai oleh mereka. Malah, syari'at juga amat sempurna dalam serba-serbi. Sama ada yang telah disedari oleh manusia mahupun yang belum diketahuwi oleh mereka. Ia bersifat sepadu antara satu dengan yang lain. Justeru, syari'at mengandungi perincian yang jauh lebih luas dan mendalam dari pencapaian akal gabungan semua manusia di seluruh masa dan lokasi.

Monday, December 1, 2008

Nilai-Nilai Murni

Zaman sekarang, orang selalu menyebut "nilai-nilai murni". Contohnya: keadilan, kebenaran, kejujuran, kasih sayang, kesederhanaan, ketelusan, kebajikan dan lain-lain.

Nilai-nilai murni ialah sebahagian dari nilai-nilai yang terkandung dalam sistem hidup Islam. Nilai-nilai murni menurut Islam ialah bersifat kemanusiaan dan sejagat. Maksudnya, dikehendaki oleh semua manusia dan tiada sebarang diskriminasi. Contoh: Jujur terhadap semua manusia tanpa mengira agama atau latar-belakang keturunan. Justeru, larangan mencuri, bukan sahaja terhadap harta muslim atau harta orang Melayu atau harta orang kampung tetapi terhadap harta sesiapa sahaja. Sebab, semua manusia mengharapkan kejujuran.

Nilai-nilai murni dalam sistem Islam diistilahkan sebagai sistem akhlaq. Ia mesti dihayati oleh setiap manusia sesama mereka dan terhadap semua makhluk. Apatah lagi terhadap Allah.